Tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang menjadi penyebab kepada krisis perlembagaan di Perak dikatakan dihimpit kecelaruan apabila masih menyembunyikan diri sehingga sekarang.
Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu dan Hee Yat Foong difahamkan belum kembali ke rumah mereka sejak episod kehilangan mereka sebelum ini.
Malah seorang daripada Adun terbabit tidak juga kembali ke rumah biar pun isterinya sakit tenat sekarang.
Manakala Hee Yat merupakan orang kurang upaya (OKU) juga belum pulang ke rumahnya.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Khalil Adham Lim Abdullah berkata, rumah Adun Jelapang sekarang menjadi sasaran rakyat yang tidak berpuas hati terhadap tindakannya menjadi pembelot.
“Saya diberitahu setiap hari orang yang lalu lalang di depan rumahnya menghamburkan kata-kata kesat. Ada yang melemparkan telur busuk dan macam-macam lagi.
“Anaknya juga tidak dapat berniaga seperti biasa sekarang kerana tidak tahan berdepan dengan cemuhan orang ramai,” katanya pada ceramah perdana di Padang Perdana malam tadi.