KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu segenap lapisan rakyat menghayati konsep 1Malaysia yang telah diketengahkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional yang telah disemai sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara.
"Semua rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana mereka yang akan menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara itu," titah baginda.
Baginda juga berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanahair yang berdaulat, kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.
"Beta amat sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa dan etnik yang menganuti agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang berbagai juga dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati," titah Baginda sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Istana Negara di sini, hari ini.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa sukacita terhadap konsep 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berprinsipkan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Bagaimanapun, titah Baginda kerajaan perlu terus memperkemas dan mempertingkat jentera pentadbiran dan pelaksanan negara, yang menjadi nadi penting pembangunan negara, agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.
Baginda juga mahu generasi muda negara ini supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.
"Sesungguhnya Malaysia satusatunya negara kita, harta yang paling berharga, lambang maruah dan kehormatan bersama dan apa yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan kepada anda semua untuk meneruskan perjuangannya," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda dan Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengucapkan terima kasih kepada Najib, yang mewakili kerajaan, anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan serta rakyat dalam menyembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada baginda.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa syukur kerana proses peralihan teraju kepimpinan negara pada April lepas telah berjalan dengan lancar dan sempurna.
"Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, syabas Beta ucapkan kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri serta telah menunjukkan kepimpinan dan komitmen yang dinamik sepanjang pentadbiran beliau, sejak April yang lalu," titah baginda.
Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan kepimpinan yang telah beliau sumbangkan kepada negara ini.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap agar pakejpakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.
Baginda bertitah ini amat penting khasnya dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan tekanan ekonomi yang mencabar dan hampir tidak terduga dan oleh itu pelaksanaan pembangunan perlu disegerakan bagi kepentingan seluruh rakyat.
Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana kerajaan akan mengubal satu model baru ekonomi yang baginda yakin dapat mencipta kapasiti baru kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Baginda juga percaya bahawa kerajaan dapat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan bagi meningkatkan lagi usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan mengambil kira keperluan sosial masyarakat bagi menghasilkan ketenteraman dan kesejahteraan kepada rakyat agar tiada kaum atau golongan termasuk wanita, belia, orang tua dan yang kurang upaya daripada tercicir.
"Sesungguhnya, dasar kerajaan yang sedia ada telah berjaya mewujudkaan keseimbangan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum dengan strategi pembangunan ekonomi yang bijak.
"Beta berpuashati kerana golongan rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara semakin kecil jumlahnya," titah baginda.
Kerajaan telah melancarkan dua pakej rangsangan ekonomi tahun lepas yang keseluruhannya bernilai RM67 bilion.BERNAMA