08/09/09. SELASA.
SIASAT IDRISJALA SIAPA SEBENAR BELIAU. ADALAH SANGAT MERAGUI UNTUK MALAYSIA.
Pas akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubungan kegagalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala untuk mengambil tindakan yang betul semasa berkhidmat Malaysian Airlines (MAS).
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Idris gagal menjalankan tanggungjawab sebaiknya apabila tidak mengambil tindakan susulan terhadap bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli yang menyebabkan syarikat tersebut mengalami kerugian RM8 bilion.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan peguam Pas berhubung laporan kepada SPRM sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengambil tindakan terhadap Idris yang telah dilantik sebagai menteri penuh baru-baru ini.
“Laporan polis telah dibuat sendiri oleh Datuk Ramle Yusof yang ketika itu menjawat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial terhadap Tajuddin. Tetapi Idris tidak mengambil sebarang tindakan terhadap penyelewengan yang berlaku,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan pelantikan Idris sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas mempertikaikan pelantikan Idris sebagai menteri ekoran prestasinya yang tidak cemerlang sebelum ini.
Malah, tugas Idris untuk menjaga Indeks Prestasi Utama (KPI) turut meragukan seolah-olah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Koh Tsu Koon yang dilantik sebelum ini gagal melaksanakan tanggungjawabnya.
“(Tetapi) Jika betullah hendak belajar sekalipun, kenapa tidak mengambil Tony Fernandes (CEO Air Asia), beliau lebih berkredibiliti sehingga mengangkat nama Air Asia ke persada dunia,” katanya.
Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pula menyatakan krisis Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) hanya dapat diselesaikan melalui Suruhanjaya Diraja.
Menurutnya, pihak berkuasa tidak dapat menjalankan penyiasatan dengan baik kerana banyak individu berstatus politik dalam skandal tersebut.
“Selain itu, rakyat hanya didedahkan kes melibatkan pemimpin MCA sahaja, sedangkan ramai ahli UMNO juga terlibat,” katanya. -SH