ANWAR DIUGUT ISA KERANA BN TAKUT KEPADA RAKYAT
Kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengugut akan mengambil tindakan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membendung gejala serangan ke atas gereja dan menuduh UMNO sebagai dalang sebenar di dalam perkara ini sangatlah dikesali.
Persepsi masyarakat Malaysia pada masa kini melihat bahawa Umno cuba mendalangi isu ini, dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewajarnya mengambil kenyataan oleh Anwar itu sebagai teguran. Konsep mendalangi itu luas kerana segalanya berpunca dari kelemahan Umno yang meletakannya salah seorang pemimpinnya sebagai Menteri KDN, tetapi gagal memainkan peranannya. Sewajarnya KDN menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan rundingan bukannya membiarkan NGO-NGO pro-Umno menghangatkan isu ini dengan demontrasi serta pelbagai provokasi, kata Ket. Penerangan PAS Pusat.
Ugutan kali kedua tentang penggunaan ISA semalam juga mengukuhkan persepsi bahawa Menteri sedang cuba menutup kelemahannya dalam menguruskan isu ini. Bila ada sahaja isu yang gagal ditangani, Menteri akan ugut ISA.
Penggunaan ISA pada persepsi rakyat, dimana orang-orang yang bersalah pada pandangan pemerintah perlu disimpan didera dan tidak dibicara untuk keselamatan bn. Ini jelas sebagai satu strategi untuk memperlihatkan BN begitu dominan. Pendakwaan di Mahkamah adalah satu penyelesaian yang adil dan semua pihak agar bertenang disamping mengukuhkan perpaduan.
Pengalaman yang ada, percaturan politik BN sudah dapat dibaca rakyat. Oleh itu, diingatkan KDN supaya bertindak bijak, bukannya menurut hawa nafsu politik Menteri yang mahu menyelamatkan partinya yang kini terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan mahu dilihat ‘juara rakyat’ dengan mengorbakan pimpinan Pakatan.
Pimpinan politik dari PR juga menghormati tugas pihak Polis dan KDN, tetapi kelembapan KDN bertindak boleh menyebabkan isu ini mencetuskan ketegangan yang berpanjangan. Berulang kali Hishamuddin menyebut bahawa KDN sudah kenal pasti suspek, tetapi hingga hari ini tiada satu tangkapan pun dibuat. Menteri sepatutnya ‘walk the talk’ bukan ‘Talk the walk” sahaja.