CERMIN-CERMIN SEBENAR 1 MALAYSIA.
Pendakwaraya hari ini sekali lagi meminta Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan perbicaraan bersabit penyerahan dokumen itu. Mahkamah Tinggi menetapkan 3 November ini untuk menimbang semula perkara berkenaan, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang akan bersidang 23 Oktober bagi mendengar permohonan pendakwaraya membatalkan penyerahan bukti-bukti itu.
"Yang memohon untuk menangguhkan adalah pihak pendakwa. Selama ini saya yang disalahkan, kita sebenarnya minta dulu dokumen. Sampai sekarang masalah itu belum selesai", kata Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat.
"Pendakwa memohon membawa rayuan ini kerana tidak bersetuju dengan hakim yang memutuskan untuk memberi sebahagian besar dokumen kepada kita. Satu kes yang berkaitan dengan jenayah tapi dokumen tidak mahu diserahkan oleh pendakwaraya walaupun diputuskan oleh hakim" tambah Anwar.
Antara bahan bukti yang dituntut oleh Anwar ialah rakaman video keselamatan di tempat kejadian, bukti-bukti DNA dan keterangan saksi serta Saiful sendiri.
Anwar berkata setelah mengenakan pertuduhan liwat terhadapnya untuk kali kedua, pendakwaraya sengaja melewat-lewatkan perbicaraan atas alasan-alasan yang menafikan keadilan kepada beliau.