8 Oktober 2010
Fitnah paling terbesar didalam perjuangan bangsa adalah bahawa UMNO itu Melayu and Melayu itu UMNO.
Oleh demikian apa yang dimaksudkan Utusan Malaysia didalam tulisan bertajuk “Kuasa Politik Penentu Masa Depan Melayu” sebenarnya bukan mengenai kehilangan kuasa politik oleh kaum Melayu tetapi sebenarnya adalah keresahan mengenai kehilangan kuasa politik UMNO itu sendiri.
Penentu sebenar masa depan bukan sahaja orang Melayu tetapi masa depan seluruh Malaysia bukanlah berdasarkan kepada kuasa politik sahaja tetapi sebenarnya kepada kontrak politik.
Kontrak Politik adalah satu perjanjian melibatkan semua rakyat untuk mencapai satu matlamat bersama yang berpandukan kepada syarat-syarat kuasa atau peraturan yang dinamakan Perlembagaan Persekutuan.
Kuasa Politik tanpa Kontrak Politik adalah seperti permainan bolasepak tanpa peraturan atau tindakan polis tanpa undang-undang.
Kuasa Politik tanpa Kontrak Politik akan menjadi alat kepentingan golongan elit dan bukan penterjemah kehendak rakyat.
Ketika ini Politik Ketakutan (politics of fear) yang penuh dengan retorik politik penuh hasutan termasuk dengan ancaman ‘perang saudara’ dan akan berlakunya kucar-kacir seperti yang dilaungkan oleh Perkasa dan Tun Dr Mahathir sedang digunakan untuk mempertahankan Kuasa Politik UMNO dan bukan Kuasa Politik Melayu.
Sebaliknya, Negara memerlukan budaya politik harapan dan kebebasan(politics of hope and liberation) untuk memertabatkan bangsa, agama dan negara secara adil dan saksama.
Kontrak Politik mesti bermula dengan permulihan Perlembagaan Persekutuan kepada bentuk asal dengan memansuhkan undang-undang anti-demokratik seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Pencetakan dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Hasutan dan mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan termasuk menarik balik perisytiharan darurat yang masih berkuat-kuasa.
No comments:
Post a Comment