Dengan seminggu sebelum sidang Parlimen bermula, ahli-ahli Parlimen
Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan yang boleh menentukan sama
ada Datuk Seri Najib Razak mampu meneruskan mandat peribadinya sehingga
pilihan raya umum akan datang.
Walaupun tiada ancaman serta merta terhadap pengerusi BN itu untuk
jawatannya, sekumpulan penggubal undang-undang gabungan pemerintah itu
mahukan tawaran lebih baik untuk menghentikan mereka daripada sama ada
untuk menyokong Tengku Razaleigh Hamzah atau menukar kepimpinan dalam
pemilihan Umno akhir tahun ini.
Dengan hanya memenangi 133 kerusi Parlimen, penganalisis mengatakan
Najib tidak berada dalam kedudukan untuk berhujah dengan ahli-ahli
Parlimen ini kerana hanya dengan pembelotan 23 daripada mereka menyertai
Pakatan Rakyat (PR) untuk jawatan atau keistimewaan lain boleh
menyaksikan kerajaan baru terbentuk di Malaysia.
Akan tetapi The Malaysian Insider difahamkan, ancaman tersirat itu
digunakan dalam lingkungan Umno untuk memastikan Najib tunduk kepada
garis parti dan mengurangkan pembaharuan ekonomi, kerajaan dan politik
beliau.
Penulis-penulis blog pro Umno dari kem Mahathir telah mendesak agar
penasihat-penasihat penting Najib meletakan jawatan untuk mengambil
tanggungjawab terhadap kegagalan strategi bagi membantu BN menang lebih
banyak kerusi dalam Pilihan Raya 2013, termasuk memberikan lebih banyak
wang tunai dan bantuan kepada sekolah dan organisasi bukan Melayu selain
dari mengurangkan sekatan perniagaan.
Bersama-sama dengan kumpulan dan pertubuhan perniagaan Melayu, mereka
percaya Najib sekarang harus memberikan lebih banyak kepada Melayu dan
tidak perlu menghiraukan kaum lain – pandangan membimbangkan sekutu
Najib dan negara lain yang mesra kepada perdana menteri.
Akan tetapi Najib telah mengatakan beliau akan meneruskan polisi di
bawah program transformasinya untuk merancakkan ekonomi tempatan dan
menggerakkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang
2020.
Beliau juga telah menamakan 20 ahli Parlimen Malaysia Timur sebagai
menteri dan timbalan menteri akan tetapi selebihnya turut mahukan
jawatan selain daripada ahli-ahli Parlimen Umno yang tidak dinamakan
menyertai Kabinet dan dilantik jawatan kanan lain.
“Beliau perlu memuaskan ahli-ahli Parlimen Borneo dan juga ahli-ahli
Parlimen Umno atau akan berhadapan dengan pemberontakan,” kata ahli
politik kanan BN kepada The Malaysian Insider.
Najib bukanlah presiden Umno pertama yang berhadapan dengan ancaman seperti ini.
Pendahulunya mengalami ancaman sama selepas Pilihan Raya 2008, dari
dalam partinya dan juga PR yang mengatakan mereka akan merampas
Putrajaya pada 16 September, 2008 dengan pembelotan ahli-ahli Parlimen
BN.
Pentadbiran Abdullah menguruskan ancaman itu dengan serius apabila
menghantar 49 ahli Parlimen ke Taiwan untuk lawatan sambil belajar
mengenai teknologi pertanian, lebih seminggu sebelum tarikh itu yang
juga merupakan Hari Malaysia.
Parti tunjang PR, PKR menghantar beberapa orang pemimpin ke Taiwan
untuk bercakap dengan ahli-ahli Parlimen BN akan tetapi ancaman itu
tidak menjadi kenyataan.
Tetapi ia mencukupi untuk menyebabkan Tun Abdullah Ahmad Badawi
meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno enam bulan
kemudian pada April 2009, selepas menerima tekanan dari ahli-ahli
Parlimen BN dan partinya.
Ironinya, sesetengah ahli-ahli Parlimen yang menyertai lawatan ke
Taiwan itu sekarang merupakan sebahagian daripada kumpulan - berbincang
dengan Tengku Razaleigh untuk membelot menyertai PR.
Putera Kelantan itu, sekarang merupakan satu-satunya ahli Parlimen
sejak era bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein dan bercita-cita untuk
menjadi perdana menteri semenjak 1987 apabila beliau mencabar Tun Dr
Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno.
“Mereka yang berjumpa dengan Ku Li boleh memulakan seawal minggu
hadapan untuk menonjolkan pendirian mereka,” kata sumber BN menggunakan
nama samaran bekas naib presiden Umno itu.
Akan tetapi terdapat keraguan Tengku Razaleigh boleh berjaya
mendapatkan cukup ahli-ahli Parlimen BN bagi menyertai PR dalam undi
tidak percaya kepada Najib atau pembelotan untuk kerajaan perpaduan.
“Seperti Pak Lah, Najib boleh melawan semula cabaran seperti itu.
Akan tetapi seperti Pak Lah juga, adakah itu mencukupi untuk
menghentikan Umno untuk bertindak terhadapnya?” kata sumber BN itu
merujuk kepada nama gelaran Abdullah.
“Sekarang itulah persoalan besarnya,” tambah beliau.
Akan tetapi sumber mengatakan beliau menjangkakan Najib akan
memulakan langkah untuk menghentikan dua ancaman terhadap kedudukannya
pada minggu hadapan sebelum Parlimen bermula.
“Ia seharusnya menjadi minggu yang menarik,” katanya. – 17 Jun, 2013.
No comments:
Post a Comment