KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 6 Feb tahun depan bagi sebutan semula kes penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin, yang dituduh memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua orang lagi dalam satu akuan berkanun.
Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis, supaya kes itu disebut semula selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan terhadap permohonan Raja Petra supaya perbicaraan kes fitnah terhadapnya dikembalikan ke Mahkamah Majistret.
Mahkamah Tinggi menetapkan 20 Jan tahun depan untuk mendengar permohonan tersebut.
Mohamad Sekeri juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan kedua dan ketiga dengan menambah perkataan "Leftenan" pada baris ketiga dan keenam dalam kedua-dua pertuduhan itu.
Dengan pindaan itu, pertuduhan kedua adalah "Leftenan Kolonel Abdul Aziz Buyong" manakala pertuduhan ketiga adalah "Leftenan Kolonel Norhayati Hassan".
Raja Petra dihadapkan ke mahkamah pada 17 Julai lepas dan didakwa melakukan tiga kesalahan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 10.25 pagi 18 Jun, iaitu selain tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri itu, dia juga didakwa memfitnah Leftenan Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isteri Aziz, Leftenan Kolonel Norhayati Hassan.
Bagaimanapun, Raja Petra, 58, meminta dibicarakan terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu. Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.
Mahkamah Sesyen telah menetapkan 24 Nov lepas untuk perbicaraan kes tersebut, tetapi perbicaraan itu tidak dapat diteruskan sementara menunggu keputusan notis usul yang difailkan Raja Petra di Mahkamah Tinggi pada 25 Nov lepas bagi memohon satu perintah untuk mengembalikan kes itu ke Mahkamah Majistret atau merujuknya kepada Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan.
Pada 28 Nov, Mohamad Sekeri memutuskan untuk menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi sama ada untuk mengembalikan kes fitnah itu ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.
Beliau membuat keputusan itu terhadap bantahan awal oleh Raja Petra bagi mendapatkan perintah Mahkamah Sesyen supaya perbicaraan kes itu didengar semula di Mahkamah Majistret atas alasan perintah Majistret adalah tidak sah, batal dan bertentangan dengan peruntukan dalam Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
No comments:
Post a Comment