British telah berjaya dihambat keluar dari Tanah Melayu kerana anak  semua semua bangsa telah bangun mengangkat senjata melawan mereka.  Perjuangan angkat senjata ini adalah fakta sejarah. Fakta yang selama  ini telah cuba ditenggelamkan oleh United Malay National Organisation.  Niat busuk menenggelamkan fakta ini bertujuan untuk menipu orang ramai  agar percaya bahawa gerombolan United Malay National Organisation ini  sahaja yang berhak menjadi 'raja' memerintah Tanah Melayu/Malaysia  sampai hari kiamat.
 Semenjak tahun 1958 United Malay  National Organisation telah ke hulu ke hilir menjajakan ikan busuk -  Merdeka dicapai tanpa tumpah darah. Setiap bulan Ogos United Malay  National Organsation jadi mamai dengan kisah-kisah dongeng tentang  bagaimana mereka menentang gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang dipimpin  oleh Parti Komunis Malaya (PKM). United Malay National Organisation ini  agak bebal kerana kesah kesah dongeng ini membuktikan bahawa mereka -  dalam Bahasa Inggerisnya menjadi 
British's running dog atau  budak suruhan British. Rakyat Tanah Melayu bangun menentang British  tetapi United Malaya National Organisation menentang orang yang  menentang British. Jelas ini perbuatan dan kerja budak suruhan British.
  Perjuangan mengangkat senjata melawan British bermula pada 20 Jun 1948.  Sebelum angkat senjata melawan British ini dilancarkan, Parti Komunis  Malaya telah juga melancarkan gerakan gerila bersenjata menentang kuasa  fascis Jepun. Ini adakah jawapan anak semua bangsa terhadap fascis Jepun  yang telah menawan Tanah Melayu pada tahun 1941-1945. Ini fakta  sejarah.
 Babak-babak sejarah sejarah gilang gemilang  bermandi darah ini cuba dilupuskan kerana dalam sejarah ini nama United  Malay National Organisation tidak pernah muncul. Bau kentut mereka pun  tidak terdengar dalam babak-babak sejarah ini. Gerombolan United Malay  National Organisation tidak pernah wujud dalam perjuangan  antiimperialis.
 Kuasa imperialis kulit putih (
white colonial power)  - Portugis, Belanda dan British - datang ke Tanah Melayu ini kerana  mencari harta kekayan. Kuasa imperial ini datang untuk mengambil hasil  bumi - bijih, emas, getah dan rempah rampai. Buktinya, gerombolan yang  datang awal untuk menjarah harta kekayaan di kepulauan nusantara adalah  lanun seperti Raffles dari East India Company.
  Semenjak kuasa imperialis ini - Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun -  menjejakkan kaki ke Tanah Melayu - mereka terus diserang. Nama seperti  Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Jaggut, Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman  Limbong - adalah pemula gerakan anti-imperialis di Tanah Melayu. Ini  fakta yang tidak mungkin luput hingga hari kiamat.
  Mari saya cerahkan para pembaca dengan beberapa fakta-fakta sejarah yang  juga tidak mungkin akan berubah hingga hari kiamat. Para pembaca yang  budiman , sila buka minda dan pakukan ke dalam otak kita semua bahawa  parti dan pertubuhan politik Melayu yang tertua di Tanah Melayu ialah  Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1938 dibawah  pimpinan Ibrahim Yacoob. Ini diikuti pula dengan Parti Kebangsaan Melayu  Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan sayap mudanya  Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).
  United Malay National Organisation hanya ditubuhkan pada tahun 1946.  Sila baca betul-betul. Buka mata dan buka kepala: KMM 1938, PKMM, API  dan AWAS pada tahun 1945. United Malay National Organisation ditubuh  pada tahun 1946. Baca sekali lagi, sembilan belas empat puluh enam  United Malay National Organisation ditubuhkan dan bukan sembilan belas  tiga puluh lapan. Tarikh 1946 ini pun untuk United Malay National  Organisation telah ditalkinkan. United Malaya National Organisation yang  baru ini ditubuhkan pada tahun 1988. Ini fakta sejarah yang tidak akan  berubah hingga hari kiamat.
 Kemudian mari kita lihat  garis-garis perjuangan parti-parti ini. Kesatuan Melayu Muda dan Parti  Kebangsaan Melayu Malaya telah memekikkan slogan merdeka! Laungan ini  telah menghantui kuasa imperial British. Tuntutan kemerdekaan ini telah  mengampuh dan ini menakutkan kuasa kolonial British.
  United Malay National Organisation bukan sahaja tidak berani melaungkan  merdeka malah gerombolan ini telah mengeluarkan slogan lawak seram yang  berbunyi: Hidup Melayu! Slogan lawak seram ini seolah-olah orang Melayu  'kurang oksigen'. Masih tidak jelas, apakah pada tahun 1946 dahulu  orang Melayu sedang nyawa-nyawa ikan atau kurang oksigen untuk bernafas  sehinggakan perlu dilaungkan 'hidup Melayu'. Atau kerana hakikatnya  United Malay National Organisation ini satu gerombolan yang bebal dan  tidak dapat memikirkan slogan yang masuk akal.
 Lawak  seram , hidup Melayu, masih ditakbirkan ke hulu ke hilir hingga ke hari  ini. Adalah satu fakta bahawa yang masih lantang melaungkan hidup  Melayu hari ini adalah kaum mamak yang semakin disangsikan teromba dan  salasilah kerurunan mereka. Kenapa mereke ini suka melaungkan hidup  Melayu memerlukan satu kajian yang lebih rapi.
  Adalah juga fakta sejarah bahawa United Malay National Organisation  tidak - diulangi sekali lagi dengan huruf besar: TIDAK - berjuang untuk  mendapat kemerdekaan. Apabila kuasa imperial British merasa tekanan  senjata dan gerakan masa politik di Tanah Melayu semakin melonjak dan  mengampuh maka kuasa imperial memerlukan budak suruhan yang setia.  Justeru, diwujudkan satu gerombolan yang dipanggil United Malay National  Organisation. Nama Inggeris kumpulaan ini masih dipakai hingga ke hari  ini. Nama Inggeris ini sahaja sudah memadai sebagai bukti bahawa  gerombolan ini ditelor, dieram dan dinetaskan oleh British.
  Pada 20 Jun 1948 kuasa kolonial British telah mengistiharkan apa yang  dipanggil 'darurat'. Perkataan 'darurat' ini adalah kelentong besar dari  pihak British. British dengan licik telah menggunakan perkataan  'darurat' agar orang Melayu tidak sedar bahawa apa yang sedang berlaku  pada tahun 1948 sebenarnya ialah perjuangan bersenjata untuk menghalau  British. Tidak ada warga Tanah Melayu dalam darurat. Yang darurat ialah  kuasa kolonial dan soldadu British yang telah diserang oleh gerila  Pembebasan Rakyat Malaya.
 Apabila darurat  diistiharkan, kuasa kolonial British telah mengharamkan KMM, PKMM, PKM,  API, AWAS, Hisbul Musliman dari bergerak bebas di Tanah Melayu. Ramai  pemimpin parti, kader politik dan aktivis dalam gerakan nasionalis ini  telah di tangkap oleh soldadu British. Nama-nama seperti Burhanuddin al-  Helmy, Ishak Haji Muhamad, Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh,  Ahmad Boestaman, Kamaruzaman Teh, Abdullah Sidi adakah nama-nama  nasionalis yang dikehendaki oleh British.
 Apabila  pemimpin dan kader dari gerakan nasionalis ini ditangkap, diburu atau  dibunuh maka barulah United Malay National Organisation dapat  berkembang. Gerombolan United Malay National Organisation dapat bernafas  dengan slogan hidup Melayunya kerana ramai pemimpin rakyat telah  memulakan kerja dibawah tanah atau masuk ke hutan mengangkat senjata  untuk menjadi gerila Pembebasan Rakyat Malaya.
  British dengan licik telah lebih awal merancang satu strategi untuk  memastikan United Malaya National Organisation dapat mara ke hadapan.  Strateji ini cukup senang: Dua tahun sebelum darurat diistiharkan kuasa  kolonial British telah menimbulkan konsep politik yang dinamakan Malayan  Union. Ini adalah taktik Britsih untuk mematahkan gerakan nasionalis  Melayu yang anti- British. Dengan mencadangkan konsep Malayan Union ini  British telah memberi nafas kepada United Malay National Organisation  untuk mengumpulkan orang-orang Melayu.
 Justeru  apabila darurat diisytiharkan dua tahun kemudian pada tahun 1948, pucuk  pimpinan nasionalis Melayu dari KMM, PKMM, PKM telah dipatahkan. Gerakan  yang tidak diganggu gugat malah mendapat sokongan British hanyalah  United Malaya National Organisation, Malayan Indian Congress dan Malayan  Chinese Association - semuanya menggunakan nama Inggeris. Ketika  pemimpin gerakan nasionalis dalam penjara atau kini di hutan bergerila  maka ketika inilah United Malay National Organisation mencelah masuk  menawarkan diri untuk menjadi barua British yang setia. Ini fakta  sejarah yang sampai kiamat pun tidak akan berubah.
  Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman bukan perjuang menentang Britsih.  Mereka berebut-rebut menawarkan diri untuk menjadi budak suruhan British  yang setia. Justeru, kuasa kolonial British memiliki dua pilihan.  British akan memilih kuda yang lebih setia. Akhirnya Tunku menjadi  pilihan British.
 Dengan kemunculan budaya internet  segala pembohongan United Malay National Organisation telah diketahui  umum. Satu demi satu tipu helah dan fakta songsang tentang perjuangan  kemerdekaan Tanah Melayu telah mula dibongkar. Anak-anak muda semakin  sedar kenapa pada ketika ini United Malay National Organisation sedang  bermati-matian cuba memesongkankan fakta perjuangan bersenjata melawan  British.
 Hari ini, pada September 2011, United Malay  National Organisation sedang bernafas dalam lumpur untuk mempertahankan  babak serangan gerila Pembebasan Rakyat Malaya keatas rumah pasung  Bukit Kepong. United Malay National Organisation melihat serangan ini  sebagai detik sejarah perjuagan mereka.
 Serangan  gerila ini telah dipimpin oleh Mat Indera - seorang guru agama, seorang  kader dari Parti Komunis Malaya dan aktivis API. Kemunculan Mat Indera  pada tahun 2011 telah meledakkan mitos bahawa Parti Komunis hanya  dianggotai oleh orang China. Roh Mat Indra juga telah meledakkan mitos  bahawa kaum komunis tidak ada agama. Roh Mat Indra yang muncul tahun ini  telah juga mensahihkan bahawa United Malay National Organistaion adalah  budak suruhan setia British. Ini kerana sarjan ketua rumah pasung Bukit  Kepong pada malam serangan itu ialah Ray Dancey. Sila baca namanya  sekali lagi. Namanya bukan Mat Rais bin Lebai Dasi tetapi Ray Dancey -  seorang Mat Salleh yang sebelum ini kerjanya mengharubirukan rakyat  Palestin.
 United Malay National Organsation ini  bukan sahaja budak suruhan yang setia malah telah menjadi amat bebal.  Tidakkah mereka sedar bahawa serangan ke atas rumah pasung Bukit Kepong  ini berlaku pada 23 Februari 1950. Tahun seribu sembilan ratus lima  puluh Tanah Melayu masih dibawah British. Bendera yang berkibar di rumah  pasung Bukit Kepong ialah bendera Union Jack. Lagu yang dinyanyikan  ialah lagu God Save the Quen.
petikan halaman Hisyamudin Rais.