Dikirim pada Mac 10, 2009 oleh Shamsul Iskandar
Saya menyangkal dakwaan Sayuti Omar (MSO) di blog beliau yang menyatakan bahawa PM Abdullah dan YB Dato’ Seri Anwar berunding di Hulu Langat.
Kehadiran kedua-dua pimpinan adalah di atas jemputan Al-Fadhil Tuan Guru Syeikh Mahmud Al-Majzub (yang lebih selesa dikenali dengan panggilan Tok Ayah) bersempena dengan majlis Maulid Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat, Selangor.
Program yang dimulakan sejak daripada awal pagi turut diisi oleh para penceramah jemputan khas dari dalam dan luar negara termasuk saya sendiri. Yang menarik ialah ucapan Sami Di Raja Thailand yang memberikan beberapa dimensi yang menyegarkan mengenai keamanan sejagat. Pada beliau setiap insan itu dijadikan dengan kejadian yang sempurna bertujuan untuk bersama-sama menjadikan dunia ini satu tempat kediaman yang aman bagi seluruh ummat manusia.
PM Abdullah dan YB Dato’ Seri Anwar telah dijemput untuk makan tengahari bersama-sama para jemputan termasuk para ulama’ Asia Tenggara. Selepas dari itu, kedua-dua mereka bersolat zohor secara berjemaah dan kemudiannya disusuli dengan ucapan PM Abdullah serta tazkirah daripada Tok Ayah. PM Abdullah mengingatkan para jemaah kepentingan untuk ta’awun di dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada umat manakala Tok Ayah menegaskan tentang kewajipan pemimpin negara untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang baik dan mendapat keampunan daripada Allah S.W.T. (baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur)
Apapun saya setuju dengan MSO, pertemuan hari ini mempunyai sejarah yang tersendiri.
Angkatan Muda,
1 comment:
pertemuan hari ini mempunyai sejarah yang tersendiri.
pERTEMUAN YANG BAIK APA ADA MASAALAH?
jib pun masa bentang belanjawan mani bajet pun dah nak risau.
Post a Comment