Pakatan fail saman cabar pelantikan MB Perak
[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini mengambil keputusan untuk memfailkan saman bagi mencabar kesahihan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru dari Barisan Nasional (BN).
Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, barisan panel peguam daripada tiga parti komponen Pakatan termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP akan mengkaji tindakan saman tersebut.
Anwar berkata, Pakatan berpendirian bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah.
"Keputusan Pakatan Rakyat adalah untuk mempertikaikan kesahihan pelantikan Menteri Besar baru dan kami anggap ia tidak sah," katanya.
"Seterusnya sekarang, di Perak ada dua Menteri Besar...seorang yang sah yang dipilih pada pilihan raya umum lalu dan seorang lagi yang tidak sah yang mengangkat sumpah hari ini," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini yang berhasrat memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Anwar berkata, hal tersebut turut dipertimbangkan.
"Kita ambil kira pandangan Karpal. Bagaimanapun, kita minta supaya panel yang kita lantik ini melihat semula setiap cadangan yang dikemukakan," katanya.
Dalam pada itu Anwar turut mengutuk tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya cuba mengambilalih pentadbiran negeri Perak dengan cara rampasan kuasa.
"Kita kutuk cara BN dan Umno yang sungguh biadap terutamanya ketika melayan Datuk Seri Mohammad Nizar semasa beliau ke pejabatnya pagi tadi.
"Semua barangan beliau telah dirampas dari pejabat beliau," katanya.
Selain itu Anwar berkata isu Nizar yang dikatakan derhaka kepada Sultan Perak kerana enggan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar seperti yang disebarkan melalui media sengaja dibangkitkan oleh BN.
"Datuk Seri Mohammad Nizar tidak derhaka, sebaliknya beliau hanya tunduk kepada perlembagaan dan undang-undang dan tidak pernah berhasrat untuk bertindak derhaka kepada sultan," katanya.
No comments:
Post a Comment